Wednesday, September 15, 2010

Kepelbagaian Jemaah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur kita panjatkan buat Allah SWT yang telah membeirkan segala nikmat yang kita nikmati di saat ini. Semoga di setiap saat dan ketika kita melakukan setiap amal hanya keranaNya demi mensyukuri nikmat-nikmatNya ini.

Dakwah merupakan sesuatu yang wajib buat semua mereka yang mengaku sebagai seorang Muslim. Seorang ulama’ dakwah pernah berkata, “Barangsiapa yang mengatakan tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu persuruh Allah, maka dia adalah seorang da’i.” Allah telah menegaskan akan tanggungjawab berdakwah ini dengan begitu banyak sekali di dalam Al-Quran. Antaranya :

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [Q.S. 'Ali Imran. 3:104]

Kini ramai golongan yang mula menyahut seruan Allah ini, terutamanya daripada kalangan remaja, khususnya mahasiswa-mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Dan setiap individu pastinya akan cuba untuk menjalankan penyeruan kepada kebaikan (amar ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) ini dengan cara yang paling diyakininya. Keadaan ini akan menghasilkan variasi gerakan dalam penyeruan ke jalan yang suci ini. Namun jika tidak dicermati, sesuatu yang baik ini akan kelihatan sebagai sesuatu yang buruk, malah mungkin boleh mencetuskan perpecahan yang tidak kita ingini.

Pelbagai warna dengan fungsi yang sama - mewarnai 


Kepelbagaian Jemaah

Dalam mengharungi kehidupan kampus, kita perlu menyedari akan hakikat bahwa ada ramai pihak yang ingin berjuang untuk menegakkan Islam. Dan setiap daripada mereka mempunyai gerak kerja serta sudut pandang tersendiri dalam cara-cara untuk menyebarluaskan fikrah Islamiah kepada masyarakat.

Ada yang berpandangan dakwah perlu dimulakan dengan mempunyai kuasa, agar kita dapat menguasai masyarakat kampus, lalu dengan kuasa itu kita akan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Ada yang mengatakan kita perlu terus menerus menceritakan kelebihan amal kebaikan, ganjaran-ganjaran pahala yang bakal diterima atas ibadah yang dilakukan agar masyarakat akan tertarik kepada kebaikan dan dengan sendirinya meninggalkan keburukan.

Ada pula yang berpendapat masyarakat ini perlu ditarbiyah dengan kefahaman islam dengan baik, lalu dengan kefahaman dan pengamalan Islam itu masyarakat akan mengubah kehidupan mereka ke arah kehidupan yang sesuai dengan syariat dan diredhai oleh Allah SWT.

Banyak lagi fikrah-fikrah yang kita lihat. Bahkan mereka yang kelihatan mempunyai fikrah yang sama juga kita akan lihat bahawa mereka mempunyai cara mengatur organisasi yang tersendiri. Sehingga kita akan melihat begitu banyak gerakan Islam yang ada.

Lalu timbullah persoalan, “Bolehkah banyak-banyak jemaah macam ni? Nanti orang-orang bukan Islam lihat Muslim ini lemah. Nak menegakkan agama sahaja tidak bersatu."

Sebenarnya banyaknya jemaah yang wujud sekarang ini bukanlah sebuah kesalahan ataupun tanda-tanda perpecahan. Banyaknya jemaah ini menandakan ada ramai orang yang ingin menyahut seruan Allah ini:

..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan...[Q.S. Al-Baqarah, 2:148]


Masing-masing ingin melakukan perbaikan umat yang terbaik. Mereka yakin dengan jalan perjuangan mereka. Mereka sama-sama ingin menjadi mereka yang paling diredhai Allah. Bukankan ini baik?

Berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik


Wahai Pendakwah, Sedarlah

Sedarlah, banyaknya jemaah yang muncul sebenarnya memudahkan urusan kita. Semakin banyak pilihan yang boleh diikuti oleh masyarakat sebelum mereka terjebak dalam kerosakan moral yang jauh lebih membimbangkan. Jika mereka tidak bersama kita, maka dia boleh bersama dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam. Jika setiap pendakwah bersikap seperti ini, nescaya akan lahirlah generasi baru dalam umat ini. Generasi pendakwah yang semuanya bersama-sama berusaha dengan matlamat yang sama. Kita tetap bersama dalam penyatuan matlamat.

Sedarlah, tugas kita adalah untuk memperbaiki umat. Umat kini sedang berada di ambang kerosakannya. Hampir setiap hari kita boleh membaca kisah-kisah yang mengaibkan masyarakat kita di dalam surat khabar. Bahkan menjadi sesuatu yang pelik jika dalam seminggu tiada kisah bayi yang dibuang ke tong sampah mahupun di jalanan. Keruntuhan akhlak dan moral bertambah bagaikan cendawan di musim hujan.

Lalu apakah yang kita lakukan? Sibuk menyalahkan antara satu sama lain? Lalu umat terus tenggelam dalam kegelapan jahiliyah yang tidak berkesudahan. Di mana kita untuk menghulurkan tangan menyelamatkan mereka?


Umat kita jauh lebih parah daripada ini


Kesimpulan : Jadilah Doktor Kepada Umat

Berdakwahlah bagaikan doktor. Doktor yang diamanahkan dengan negara yang penuh dengan pesakit-pesakit yang kronik. Sudah pasti kita tidak mampu menyelamatkan kesemua pesakit-pesakit itu. Dan kita perlukan bantuan doktor-doktor lain, meskipun mereka tidak sama tempat belajarnya dengan kita dahulu, dan tidak sama teknik pengubatan yang digunakan.

Jika pesakit yang ingin kita ubati telah diuruskan oleh doktor yang lain, biarkan sahaja. Masih ramai pesakit yang memerlukan bantuan kita. Tidak kisah siapa yang mengguruskan mereka, yang penting mereka semua dapat diselamatkan.

Tidak mungkin kita akan bergaduh dengan doktor yang lain semata-mata berebut seorang pesakit. Fahamilah keadaan masyarakat. Masih ramai yang perlu diselamatkan. Masih ramai.

Marilah menjadi doktor yang baik kepada umat!





No comments: