Thursday, September 16, 2010

JENIS-JENIS MENGUMPAT YANG DIBOLEHKAN

Sebagaiamana kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang apabila orang tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.

Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata: Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:

(1) KES PENGANIAYAAN.


Dibolehkan kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.


(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.

Umpamanya seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah maksiat: Si Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu maka hukumnya adalah haram.


(3) MINTA FATWA.

Umpamanya ia berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya, bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah tercapai tujuannya. Namun demikian menyebut nama orang yang menzalimi adalah dibolehkan sebagaimana dalam kisah Hindon diatas.


(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.


Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain. Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau paling kurang supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan tentang peribadi seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan sebagai.


(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG.

Umpamanya: Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama yang mengajar ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid’ah atau bomoh dan dukun yang menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.


(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.

Andaikata seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih baik.

Wednesday, September 15, 2010

Kepelbagaian Jemaah Sebenarnya Rahmat....

Pertama sekali, saya bukanlah orang yang paling layak untuk bercerita tentang ini. Berkecimpung dalam medan dakwah pun baru setahun jagung. Namun beberapa pengalaman peribadi sepanjang penglibatan dalam medan ini mengajar saya beberapa perkara. Akhirnya, saya turut merasakan bahawa taadud jemaah itu sebenarnya suatu rahmat daripada Allah SWT.

Tercetus Idea


Baru-baru ini saya diziarahi oleh sempai(senior) dari Jepun yang banyak menceritakan pengalaman dakwahnya di Jepun. Di samping itu, kami duduk bersama dan muhasabah kembali tanggungjawab yang tergalas di bahu kita semua hari ini, iaitu tanggungjawab menyebarkan agama ini.


Sempai bercerita tentang seorang professor di universitinya yang sangat baik, dan sangat berakhlak Islam cuma aqidahnya sahaja yang menolak bahawa dia seorang Islam. Dan betapa sempai itu terasa bahawa sukarnya untuk mengubah aqidah prof tersebut dan menjadikannya seorang Islam. Seakan tergambar di akhirat kelak yang prof ini akan menuduhnya tidak menyampaikan Islam, sedangkan mereka dekat sekali.

Tersedar kembali, betapa beratnya amanah yang kita semua pikul. Mereka di sekeliling kita yang melakukan maksiat, tetapi kita tidak melarang atau mencegahnya, maka di akhirat kelak golongan inilah yang akan kembali menyalahkan kita. Kita yang tahu sedikit ini, tetapi tidak menyampaikan apa yang kita tahulah yang menjadi penyebab kepada kemaksiatan mereka. Gerun mendengarnya. Bayangkan di saat anda selangkah lagi menghampiri pintu syurga, ada seorang hamba Allah berkata,

“Dia ni dulu tengok je aku buat maksiat, tapi tak buat apape pun. Manalah aku tahu perbuatan aku tu satu dosa. Dia ni lah yang menjadi punca kejahilan aku..”

Lantas kita pun terus dicampakkan ke neraka. Berat tak tanggungjawab kita? Besar tak amanah yang Allah bagi?


Rahmat taadud jemaah

Dengan memikirkan bahawa saya seorang ataupun sesuatu jemaah sahaja, tidak mungkin mampu untuk mencapai dan menyampaikan dakwah kepada seluruh alam saat ini, maka saya merasakan betapa besarnya rahmat Allah SWT yang mewujudkan kepelbagaian jemaah, dan dalam konteks kita, di Malaysia.

Untuk menegakkan hukum hudud, kita ada PAS.

Untuk tarbiyah yang berterusan, kita ada JIM dan ISMA.

Untuk tarbiyah golongan yang bermasalah, dan mengimarahkan masjid, kita ada tabligh.

Untuk menyedarkan orang ramai tentang isu Palestin, kita ada Aman Palestin.

Untuk tarbiyah pakcik-makcik di kampung, kita ada pendakwah-pendakwah bebas.

Untuk tarbiyah golongan remaja, ada kelab-kelab dan persatuan remaja di universiti.

Untuk masyarakat, kita ada media-media Islam seperti TV9, astro oasis dan sebagainya.

Dan banyak lagi yang tak tersebut di sini. Wujudnya kepelbagaian ini, memungkinkan kita semua untuk bergerak menyampaikan dakwah dalam kapasiti yang kita ada dan akhirnya menyuburkan dakwah ini, menyampaikan Islam ini ke seluruh pelosok Malaysia khususnya. Juga memepercepatkan proses dakwah itu sendiri.


Akhir kata

Saya tidak mengatakan pendapat saya ini sahaja yang betul. Cuma ingin diraikan kepelbagaian jemaah ini agar tidak timbul sebarang isu pada masa akan datang. Mungkin pendapat kita berbeza mengenai hal ini, keyakinan kita pada tarbiyah yang mana-mana pihak sumbangkan juga berbeza. Namun, janganlah sampai perbezaaan pendapat kita ini melebarkan jurang dan menjadi punca keretakan ukhuwah antara kita semua, sesama muslim, juga sesama rakan dai’e yang memperjuangkan dan menyebarkan Islam ini.

Dan janganlah kita bertindak menghukum kumpulan-kumpulan tertentu adalah salah. Semuanya adalah benar selagi mereka bergerak dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Tunaikan tanggungjawab kita pada orang sekeliling. Mereka di sekitar kita ini adalah amanah Allah kepada kita, mereka inilah yang akan meminta pertanggungjawaban daripada kita di akhirat kelak.

Bergeraklah dalam kapasiti yang kita ada untuk menyampaikan Islam ini. Teruskan bergerak dan menyampaikan Islam ini mengikut manhaj dan jemaah yang kita yakini. Berdoalah agar suatu hari nanti kita semua dapat kembali bersatu di bawah pemerintahan Khalifah.

Semoga Islam ini akan tertegak kembali dan memimpin dunia semula.

Ciri-ciri pendokong Jemaah Islamiyah

1. Pendokong Jemaah Islamiah pula jumlahnya sedikit. Ia menepati apa yang disebut oleh Allah didalam Al Quran sebagaimana FirmanNya bermaksud:

"Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih". (Surah Saba' ayat 13)


Firman Allah lagi yang bermaksud:


"Hai Nabi, kobarkanlah (perangsangkanlah) para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. (maksudnya: mereka tidak mengerti bahawa perang itu haruslah untuk membela keyakinan dan mentaati perintah Allah. Mereka berperang hanya semata-mata mempertahankan tradisi jahiliyyah dan maksud-maksud duniawiyah lainnya)." (surah Al-Anfal ayat 65)


Yang dimaksudkan dengan jumlah sedikit dan 20 nisbah 200 dan 100 nisbah 1000 musuh itu ialah orang yang bertakwa, dinilai daripada segi kualiti iman dan takwa bukan dari segi tenaga fizikalnya.


Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:


"Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (ayat 249 surah al-Baqarah)

Jumlah yang sedikit itu juga terdiri daripada pelbagai profession. Ada golongan petani, pelajar, pensyarah, ahli perniagaan, orang miskin, orang kaya, berpendidikan agama, perpendidikan sains, ahli politik, pegawai kerajaan, polis, tentera dan lain-lain. Tetapi semua professionalisme mereka digunakan untuk memajukan Islam dan bukan digunakan untuk mencari keuntungan peribadi.


2. Pendokong Jemaah Islamiah berada di serata pelosok bumi. Walaupun antara mereka tidak kenal mengenal satu sama lain disebabkan tinggal berjauhan dan tidak pernah berjumpa, tetapi sikap tindak tanduk, minda dan juga akhlak mereka sama iaitu ingin memajukan Islam. Seolah-olah mereka itu datang daripada satu keluarga.


Gambaran sedemikian telah digambarkan oleh Saidina Ali krw. Katanya:

Allah mengumpul dan melengkapkan pilihan para sahabat Rasulullah SAW untuk peperangan Badar sebanyak bilangan tentera Tholut, iaitu 313 lelaki. Sifat-sifat mereka itu pula ibarat singa yang baru keluar dari hutan. Hati-hati mereka bagai kepingan besi (cekal). Jikalau mereka ingin untuk mengubah bukit, nescaya mereka dapat mengubahnya dari tempat asal (kerana kuat azam dan cita-cita mereka). Gaya mereka adalah sama, begitu juga dengan bentuk pakaian seragam mereka, mereka juga kelihatan seolah-olah datang daripada satu keturunan, (kerana hubungan kasih sayang dan ukhuwah mereka rapat)." (Daripada kitab Aqdud Durar Akhbar al-Muntazar).


3. Ikatan ukhuwah antara para pengikut jemaah itu ibarat batu bata yang tersusun rapi. Ia juga boleh diibaratkan sebagai satu tubuh badan , mana-mana satu anggota yang sakit maka anggota yang lain akan terasa sakit juga. Sifat itu seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sikap orang mukmin sesama mukmin yang lain ibarat batu bata pada sebuah bangunan. Satu sama lain kuat-menguat dan sokong menyokong". (Riwayat Muslim)


4. Mereka menjadi singa pada siang hari (hebat dan kuat berjuang) dan menjadi 'abid pada malam hari (bangun beribadah malam dan bermunajat dengan Allah).

5. Tidak terlibat dengan riba, maksiat dan sistem hidup orang lain, juga tidak bergantung hidup kepada yang lain selain daripada Jemaah Islamiah kerana mereka mempunyai sistem hidup dalam Jemaahnya sendiri dan kehidupan harian mereka dijamin oleh Jemaah yang menyediakan pelbagai projek kemajuan bagi menampung keperluan harian mereka.


6. Pendokong Jemaah Islamiah bukan hanya didedahkan tentang hukum Allah dari segi persoalan jinayat, hudud atau yang ada hubungan dengan negara semata-mata. Malah hukum-hukum lain yang berhubungan dengan diri, keluarga, masyarakat,politik, pekerjaan, pendidikan, pertanian, perubatan dan sebagainya. Bahkan mereka berusaha ke arah untuk menegakkannya.



7. Pendokong Jemaah, cinta kepada Allah lebih daripada segala-galanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:



"Katakanlah (wahai Muhammad): "jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang cintai lebih dari Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalan Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (Surah At-Taubah ayat 24)


8. Tidak sombong kerana pengikut ramai, sebagaimana Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 25 yang bermaksud:


Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mu'minin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak(megah) kerana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfa'at kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai.


Dalam peperangan Hunain, tentera Islam telah diserang hendap sehingga banyak diantara mereka yang telah bertempiaran lari (padahal pada permulaan perang mereka berasa megah dengan ahli perang yang ramai) kecuali Rasulullah SAW; dan sebilangan kecil sahabat-sahabat baginda yang bertahan menentang musuh dengan gagahnya. Setelah orang-orang Islam yang bertempiaran lari itu mendengar seruan Rasulullah SAW memberi semangat, kembalilah mereka beramai-ramai, yang pada peringkat akhirnya tentera Islam berjaya menghancurkan musuhnya.

9. Tidak tamak kepada kemewahan dan harta benda dunia sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 249 yang bermaksud :

"Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutKu. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutKu." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Kepelbagaian Jemaah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur kita panjatkan buat Allah SWT yang telah membeirkan segala nikmat yang kita nikmati di saat ini. Semoga di setiap saat dan ketika kita melakukan setiap amal hanya keranaNya demi mensyukuri nikmat-nikmatNya ini.

Dakwah merupakan sesuatu yang wajib buat semua mereka yang mengaku sebagai seorang Muslim. Seorang ulama’ dakwah pernah berkata, “Barangsiapa yang mengatakan tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu persuruh Allah, maka dia adalah seorang da’i.” Allah telah menegaskan akan tanggungjawab berdakwah ini dengan begitu banyak sekali di dalam Al-Quran. Antaranya :

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [Q.S. 'Ali Imran. 3:104]

Kini ramai golongan yang mula menyahut seruan Allah ini, terutamanya daripada kalangan remaja, khususnya mahasiswa-mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Dan setiap individu pastinya akan cuba untuk menjalankan penyeruan kepada kebaikan (amar ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) ini dengan cara yang paling diyakininya. Keadaan ini akan menghasilkan variasi gerakan dalam penyeruan ke jalan yang suci ini. Namun jika tidak dicermati, sesuatu yang baik ini akan kelihatan sebagai sesuatu yang buruk, malah mungkin boleh mencetuskan perpecahan yang tidak kita ingini.

Pelbagai warna dengan fungsi yang sama - mewarnai 


Kepelbagaian Jemaah

Dalam mengharungi kehidupan kampus, kita perlu menyedari akan hakikat bahwa ada ramai pihak yang ingin berjuang untuk menegakkan Islam. Dan setiap daripada mereka mempunyai gerak kerja serta sudut pandang tersendiri dalam cara-cara untuk menyebarluaskan fikrah Islamiah kepada masyarakat.

Ada yang berpandangan dakwah perlu dimulakan dengan mempunyai kuasa, agar kita dapat menguasai masyarakat kampus, lalu dengan kuasa itu kita akan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Ada yang mengatakan kita perlu terus menerus menceritakan kelebihan amal kebaikan, ganjaran-ganjaran pahala yang bakal diterima atas ibadah yang dilakukan agar masyarakat akan tertarik kepada kebaikan dan dengan sendirinya meninggalkan keburukan.

Ada pula yang berpendapat masyarakat ini perlu ditarbiyah dengan kefahaman islam dengan baik, lalu dengan kefahaman dan pengamalan Islam itu masyarakat akan mengubah kehidupan mereka ke arah kehidupan yang sesuai dengan syariat dan diredhai oleh Allah SWT.

Banyak lagi fikrah-fikrah yang kita lihat. Bahkan mereka yang kelihatan mempunyai fikrah yang sama juga kita akan lihat bahawa mereka mempunyai cara mengatur organisasi yang tersendiri. Sehingga kita akan melihat begitu banyak gerakan Islam yang ada.

Lalu timbullah persoalan, “Bolehkah banyak-banyak jemaah macam ni? Nanti orang-orang bukan Islam lihat Muslim ini lemah. Nak menegakkan agama sahaja tidak bersatu."

Sebenarnya banyaknya jemaah yang wujud sekarang ini bukanlah sebuah kesalahan ataupun tanda-tanda perpecahan. Banyaknya jemaah ini menandakan ada ramai orang yang ingin menyahut seruan Allah ini:

..oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan...[Q.S. Al-Baqarah, 2:148]


Masing-masing ingin melakukan perbaikan umat yang terbaik. Mereka yakin dengan jalan perjuangan mereka. Mereka sama-sama ingin menjadi mereka yang paling diredhai Allah. Bukankan ini baik?

Berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik


Wahai Pendakwah, Sedarlah

Sedarlah, banyaknya jemaah yang muncul sebenarnya memudahkan urusan kita. Semakin banyak pilihan yang boleh diikuti oleh masyarakat sebelum mereka terjebak dalam kerosakan moral yang jauh lebih membimbangkan. Jika mereka tidak bersama kita, maka dia boleh bersama dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam. Jika setiap pendakwah bersikap seperti ini, nescaya akan lahirlah generasi baru dalam umat ini. Generasi pendakwah yang semuanya bersama-sama berusaha dengan matlamat yang sama. Kita tetap bersama dalam penyatuan matlamat.

Sedarlah, tugas kita adalah untuk memperbaiki umat. Umat kini sedang berada di ambang kerosakannya. Hampir setiap hari kita boleh membaca kisah-kisah yang mengaibkan masyarakat kita di dalam surat khabar. Bahkan menjadi sesuatu yang pelik jika dalam seminggu tiada kisah bayi yang dibuang ke tong sampah mahupun di jalanan. Keruntuhan akhlak dan moral bertambah bagaikan cendawan di musim hujan.

Lalu apakah yang kita lakukan? Sibuk menyalahkan antara satu sama lain? Lalu umat terus tenggelam dalam kegelapan jahiliyah yang tidak berkesudahan. Di mana kita untuk menghulurkan tangan menyelamatkan mereka?


Umat kita jauh lebih parah daripada ini


Kesimpulan : Jadilah Doktor Kepada Umat

Berdakwahlah bagaikan doktor. Doktor yang diamanahkan dengan negara yang penuh dengan pesakit-pesakit yang kronik. Sudah pasti kita tidak mampu menyelamatkan kesemua pesakit-pesakit itu. Dan kita perlukan bantuan doktor-doktor lain, meskipun mereka tidak sama tempat belajarnya dengan kita dahulu, dan tidak sama teknik pengubatan yang digunakan.

Jika pesakit yang ingin kita ubati telah diuruskan oleh doktor yang lain, biarkan sahaja. Masih ramai pesakit yang memerlukan bantuan kita. Tidak kisah siapa yang mengguruskan mereka, yang penting mereka semua dapat diselamatkan.

Tidak mungkin kita akan bergaduh dengan doktor yang lain semata-mata berebut seorang pesakit. Fahamilah keadaan masyarakat. Masih ramai yang perlu diselamatkan. Masih ramai.

Marilah menjadi doktor yang baik kepada umat!





CIRI-CIRI JAMAAH ISLAMIYYAH YANG DIWAJIBKAN KITA BERSAMA-SAMA DENGANNYA

Di antara perkara-perkara yang telah diterima dan tidak dapat dipertikaikan lagi, bahawasanya setiap pertubuhan atau Jamaah sama ada Jamaah Islamiyyah atau pun jamaah yang selain daripada itu, mesti mempunyal ciri-cirinya yang tertentu. Dengan demikian ia dikenali dan dapat dibezakan dari jamaah yang selain daripadanya. Jadi apakah ciri-ciri atau prinsip-prinsip Jamaah Islamiyyah yang menonjol dan membezakannya dari segala Jamaah atau pertubuhan dan ideologi yang dibuat oleh manusia di atas muka bumi ini ?

Sebenarnya ciri-ciri Jamaah Islamiyyah telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Terdapat nas-nas daripada Al Qur’an dan As-Sunnah yang menerangkan tentang ciri-ciri Jamaah Islamiyyah. Di antara ciri-ciri yang ada pada sebuah Jamaah Islamiyyah ialah :

1. Jamaah yang meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang dapat membangun semua ummah, dapat membebaskan semula golongan mustadh’afin dan menyelamatkan dunia dari kehuru-haraan dan kehancuran.

2. Jamaah yang lahir di atas kesedaran sendiri. Tidak dipengaruhi oleh mana-mana golongan sama ada timur ataupun barat. Lahirnya kerana tuntutan Al Qur’an dan As-Sunnah.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al Qur’an yang bermaksudnya:

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang dan melakukan segala perbuatan yang salah. Dan mereka (yang bersifat demikian), ialah orang-orang yang berjaya."

Dan maksud sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan dari Huzaifah Al Yaman :

" Wajiblah kamu bersama Jamaah Muslimin dan pimpinan mereka."

3. Jamaah yang meyakini akan kesejagatan Islam
Maksud firman Allah :

" Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Kedatangan Islam ialah untuk memberi kebahagian kepada sekalian makhluk terutamanya terhadap manusia. Ianya tidak ditentukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu dan Turki, bahkan ianya untuk seluruh manusia. Berdasarkan kepada hakikat inilah, maka PAS sebagai sebuah Jamaah Islamiyyah membuka keahliannya kepada semua orang Islam dengan tidak mengira apa bangsa mereka. PAS adalah berlainan dengan mana-mana pertubuhan atau parti-parti politik lain yang hanya menerima keanggotaannya dan bangsa-bangsa tertentu sahaja.

4. Jamaah yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh. Sebagaimana firman Allah Taala :Maksudnya:


" Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam agama Islam (dengan mematuhinya) seluruh hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata."



5. Jamaah yang mengutarakan kebenaran yang tunggal dalam sejarah perjuangan ummat Islam iaitu Jamaah yang memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksudnya:

" Akan terus wujud segolongan ummatku yang berani melahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudharat kepada mereka oleh orang~rang yang menyanggahinya sehingga datangnya perintah dari Allah."

Inilah amalan dan sikap Jamaah Islamiyyah. Ia berterus terang di dalam menyatakan kebenaran walaupun dl saat-saat orang lain membisu seribu bahasa. Biarpun tindakan demi tindakan dikenakan terhadap anggotanya, namun Jamaah Islamiyyah tetap dengan perjuangannya sekadar yang termampu dilakukan olehnya.


6. Jamaah yang tidak melupai wadah perjuangan yang bersifat keterbukaan yang boleh menyatukan para anggotanya pada prinsip dan dasar sekalipun mereka berbeza di dalam masalah furu’.
Firman Allah Taala : Maksudnya :

" Katakanlah, wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan di antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak sembah kecuali Allah dan kita tidak mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadi sebahagian yang lain sebagai tuhan melainkan Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka " Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerah diri (kepada) Allah."




7. Jamaah yang terdapat di kalangan anggotanya sifat-sifat Hizbullah. Di antara sifat-sifat itu ialah seperti berikut :

a) Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka.

b) Merendah diri sesama mukmin.

c) Bersikap tegas dengan orang-orang yang tidak mukmin.

d) Berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencelanya.

e) Memberi kesetiaan kepada Allah, RasulNya dan para Mukmin.

f) Mendirikan solat.

g) Menunaikan zakat dan

h) Sentiasa ruku’ kepada Allah.

Sifat-sifat yang tersebut di atas itu selari dengan firman Allah Taala di dalam Al Qur’an yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah dari agamanya (murtad), maka Allah akan mendatangkan pula satu kaum yang Allah kasihkan kepada mereka dan mereka juga kasih kepadaNya. Mereka bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas (gagah) terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka pula tidak takut pada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Ia kehendaki, kerana Allah amat luas limpah kurnianya lagi meliputi pengetahuanNya. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongNya (dapatlah ia kemenangan), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang."

Selain daripada itu Jamaah Islamiyyah adalah juga dianggotai oleh mereka yang memilliki sifat-sifat berikut :
a) Bertafakkur kepada kebesaran Allah dan kejadianNya. Allah Taala berfirman (bermaksud :

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi itu ada tanda-tanda yang jelas bagi mereka yang beriman"

b) Takut hanya kepada Allah, sebagaimana maksud firman Allah Taala :

"Bahawasanya orang-orang mukmin, apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka terasa takut."

c) Taat kepada Allah dan RasulNya.Maksud firman Allah Taala :

" Dan taatilah kepada Allah dan Rasulnya jika sekiranya kamu beriman."

d) Kembali kepada hukum Allah dan RasulNya. Maksud firman Allah Taala :

" Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka hendaklah kembali kepada Allah (Al Qur’an) dan RasulNya (As-Sunnah jika sekiranya kamu masih beriman kepada Allah dan hari kemudian (Qiamat)."



e) Berkasih sayang kerana Allah dan benci-membenci juga kerana Allah. Maksud sabda Rasulullah SAW. :

" Sesungguhnya sekuat-kuat ikatan iman itu ialah kasih sayang kamu kerana Allah dan benci kamu kerana Allah."

f) Benar-benar bertawakkal kepada Allah. Maksud firman Allah :

" Kepada Allah sahajalah kamu bertawakkal sekiranya kamu beriman kepadanya."



g) Saling ingat mengingati di antara satu sama lain. Maksud firman Allah Taala :

" Dan saling ingat mengingatilah kanu antara satu dengan yang lain, maka saling ingat mengingatiiltu mendatangkan munafa’at kepada orang-orang mukmin."



h) Budi pekerti yang mulia. Maksud sabda Rasulullah SAW. :

" Orang mukmin yarag paling sempurna imannya ialah yang paling mulia pekertinya."

Bergembira apabila melakukan perkara taat dan berdukacita bila melakukan maksiat. 

Maksud sabda Rasulullah SAW. :

" Apabila kamu merasa gembira setelah melakukan kebaikan dan merasa berdukacita setelah melakukan keburukan maka itu tandanya kamu beriman."


8. Jamaah yang berjuang secara amali, tidak hanya teori semata-mata dan ia turun ke medan tidak hanya di tempat-tempat yang tertentu sahaja. Sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW. :

" Akan terus wujud segolongan ummatku yang berjuang di atas kebenaran dan berterus terang sehinggalah ke hari akhirat (qiamat)."

Berdasarkan kepada prinsip-prinsip gerakan Islam seperti yang dibentangkan di atas, maka dapatlah kita membuat keputusan bahawa mana-mana gerakan Islam yang wujud mestilah mempunyai asas dan matlamat penubuhannya. Ia ditubuhkan di atas kesedaran sendiri, bukan di dorong oleh rasa tidak puas hati kepada gerakan Islam yang lain yang telah sedia ada. Untuk lebih jelas dan yakin lagi, bahawa gerakan Islam mestilah mempunyali tujuan-tujuan sebagaimana berikut :

1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

2. Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Untuk merealisasikan semua tuntutan itu, Jamaah Islamiyyah mestilah mempunyai usaha-usaha seperti berikut :

a. Menyeru ummat manusia kepada syariat Allah dan sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

b. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

c. Memupuk dan memperkuatkan lagi Ukhuwwah Islamiyyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

d. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan~pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan hidup Islam.

e. Menyediakan rancangan~rancangan dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan ummat Islam dan rakyat seluruhnya.

f. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan, atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan gerakan Islam bila mana dan selama mana ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan syariat Allah.

g. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmornian antara kaum di dalam negara ini.


Sebenarnya perkara-perkara yang dinyatakan sebagaimana di atas telah pun sedia wujud di dalam perlembangan Parti Islam SeMalaysia iaitu PAS di dalam bab yang ke tiga fasal lima dan fasal enam.
Kalau kita melihat dan meneliti dengan ftkiran yang terbuka dan menjauhkan dari mempunyai perasaan taasub terhadap mana-mana pertubuhan maka kita akan mendapati bahawa semua perkara itu telahpun dan sedang diusahakan walaupun PAS menghadapi berbagai-bagai rintangan dan gangguan. Oleh kerana itulah bagi saya tidak ada sebab mengapa perlunya ada Jamaah yang lain yang memperjuangkan perkara yang sama dan mempunyai matlamat yang sama. Masalah kelemahan adalah merupakan perkara biasa bagi mana-mana pertubuhan yang perlu bagi kita ialah jangan kita mudah berputus asa dan merasa lemah semangat bila menghadapi permasalahan.

Thursday, September 9, 2010

Adakah peluang lagi untuk menemui Ramadhan???


Sementara masih ada waktu....marilah kita berrmuhasabah lagi......

Wednesday, September 8, 2010

MERINDUI LAILATUL QADAR

Umat Islam di seluruh dunia telah memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

   "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

(Quran, Al-Qadr 97: 1-5)


Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud:

 "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3).

 

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahala yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan malam Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.


Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih." 

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: 

"Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. "

(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

 

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhammad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari."Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

 

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

 

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah.

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati dirisebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

 

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa    yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu'

 [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :

          "Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam,  dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut.

(Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam,dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang soleh, InsyaAllah.